
Hang Tuah Pt.1 & Pt.2
MINGGU R.AZMI DI GALERI LEBOK DANA Bersempena dengan "Minggu R.Azmi di Galeri Lebok Dana", pada hari ini, Galeri Lebok Dana ingin memainkan sebuah lagu yang dinyanyikan oleh R.
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan FB Galeri Lebok Dana sekalian.
MINGGU R.AZMI DI GALERI LEBOK DANA
Bersempena dengan “Minggu R.Azmi di Galeri Lebok Dana”, pada hari ini, Galeri Lebok Dana ingin memainkan sebuah lagu yang dinyanyikan oleh R. Azmi yang bertajuk “Hang Tuah Pt. 1 & Pt. 2”.
Di dalam klip video ini, diselitkan filem Hang Tuah lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan rakan-rakannya. Filem Hang Tuah mula ditayangkan pada 28 Januari 1956. Filem arahan Phani Majumdar ini merupakan sebuah filem yang menelan kos yang besar sebanyak 1 juta ringgit pada ketika itu. Dibuat di dalam bentuk warna-warni menggunakan teknologi Eastmancolor di mana proses pewarnaanya telah dilakukan oleh syarikat Denham Laboratories Denham Uxbridge yang berpusat di England.
Hampir kesemua pelakon yang berkhidmat di Malay Film Production terlibat di dalam pembikinan filem ini. Filem ini juga mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan.
R.Azmi ataupun nama sebenarnya Raja Azmi Raja Ambiah merupakan seorang penyanyi Melayu era 50-an yang berasal daripada Kuala Kangsar, Perak. Beliau merupakan artis senangkatan dengan Tan Sri P.Ramlee dan Tan Sri S.M Salim di dalam program Bakat Radio 1947. Antara lagu hits yang beliau nyanyikan ialah “Hitam Manis”, “Dari Kerana Mata” dan “Hati Rindu”.
Semoga terhibur.
Terima kasih.
Lirik Lagu
Hang Tuah Part 1
Datuk Hang Tuah pahlawan bangsa Muda perwira gagah perkasa Sebagai tunjang pasak negara Rela berjuang sepenuh daya
Besar jasanya Hang Tuah berbakti Keseluruh alam bonda pertiwi Kepada bangsanya membawa erti Mengenalkan Melayu sejati
Dengan angkara puteri jelita Terfitnah Hang Tuah serta merta Duli baginda terlalu murka Dipecat Hang Tuah dari istana
Walau pun dirinya tidak bersalah Perintah baginda dijunjung rela Taming sari senjata pusakanya Dirampas balik dari miliknya
Dengan rela dan hati yang suci Hang Tuah segera menjunjung duli Tiada membantah sebarang peri Beredar segera menyingkirkan diri
Sepeninggalan Hang Tuah nan pergi Tampil Hang Jebat pula mengganti Kerana perintah sultan sendiri Jebat mengawal istana puri
Hang Tuah Part 2
Pada Hang Jebat Hang Tuah berpesan Junjunglah titah baginda sultan Berbuat baik biar berpadan Berbuat jahat sekali jangan
Tapi Hang Jebat tidak peduli Menurutkan nafsu hati sendiri Menderhaka ia ke bawah duli Dikorbankannya inang dan puri
Sultan pun lari dari istana Berlindung diri barang ke mana Banyaklah rakyat menjadi mangsa Darah pun banjir di kota Melaka
Dengan permohonan Datuk Bendahara Kembali Hang Tuah ke Melaka Menuntut keadilannya negara Mengadap Jebat yang merajalela
Keris terhunus berjuang laku Tangkis tikaman menyelang lalu Dengan kuasa Tuhan yang satu Tewas Hang Jebat derhaka itu
Kota Melaka kembali tenang Jasa Hang Tuah jadi kenangan Hinggalah sekarang menjadi lambang Bagai sateria pahlawan gemilang
Cerita ini diambil daripada catatan asal galeri. Tarikhnya ikut hari ia mula-mula dikongsi.



